HO

Published on December 2016 | Categories: Documents | Downloads: 43 | Comments: 0 | Views: 1291
of 13
Download PDF   Embed   Report

Comments

Content

ANALISIS LARAS BAHASA DAN KEBOLEHTERJEMAHANNYA DALAM DRAMA KOMEDI UGLY BETTY ANALYSIS OF THE REGISTERS AND THE TRANSLATABILITY OF THE DRAMEDY UGLY BETTY

Ho Chew Ngan Hasuria Che Omar Bahagian Bahasa Melayu, Terjemahan & Interpretasi Universiti Sains Malaysia [email protected], [email protected]

Abstract This paper will discuss the language registers of a selected program that was broadcast previously on Malaysian television, Ugly Betty and the translatability of certain linguistic aspects in this program which represents a hybridization of drama and comedy. The analysis will focus on three aspects: field, tenor and mode in Season 2 of Ugly Betty (2007) and the translation equivalent in the Malay subtitle. In this analysis, elements such as slang, jargon and figurative language will be looked into, and the translation product for each category will be studied. Through the using of House’s (1997) model, early findings show that the translator has the tendency to modify the elements of language registers. The findings also show that target culture, audiovisual norms and norms of the genres had influenced the result of the subtitles. Keywords: audiovisual translation, culture, registers, norms

Latar Belakang dan Pernyataan Masalah Laras bahasa didefinisikan sebagai ‘gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa’ (Nik Safiah, 1988). Maka gaya penggunaan tertentu amat bergantung kepada situasi penggunaan bahasa tersebut. Walau bagaimanapun, Asmah (1987, 1995) dan Kamaruddin (1995) turut menambah bahawa konsep ini turut melibatkan penggunaan bahasa yang khusus berdasarkan bidang tertentu. Oleh itu, Asmah telah melakukan beberapa kajian signifikan tentang perkaitan laras dengan bidang tertentu seperti laras surat rasmi (1983), laras bahasa borang (1985a), laras bahasa saintifik (1987) dan laras bahasa laporan (1995), manakala S.Nathesan (1995) pula telah mengkaji laras bahasa ilmiah. Namun S. Nathesan (1995) mendapati kajian laras bahasa Melayu kurang dilakukan di negara ini dan keutamaan hanya diberikan kepada laras bahasa sains, laras bahasa akhbar, laras bahasa iklan dan laras bahasa ilmiah sahaja. Selain itu, kajian-kajian ini hanya mengkaji aspek-aspek kebahasaan tertentu sahaja seperti gaya, modus ayat, istilah, tatabahasa dan sebagainya. Maka kertas kerja ini dilakukan untuk mengkaji pengaruh konteks situasi terhadap penggunaan bahasa tertentu. Konsep laras bahasa muncul daripada dapatan Malinowsky (1923, 1935) dalam Halliday & Hasan (1989) yang membawa kepada pengenalan terhadap konteks situasi dan konteks budaya. Konteks situasi ini memerikan situasi langsung yang hadir dalam sesuatu teks yang melibatkan persekitaran verbal dan bukan verbal manakala konteks budaya pula merujuk kepada kepelbagaian budaya dalam kehidupan yang mendasari sesuatu teks. Menurut Kamaruddin (1995), kajian terhadap situasi penggunaan bahasa ini boleh dibahagi kepada dua, iaitu ciri-ciri keperihalan (merangkumi situasi luaran dan situasi persekitaran) dan ciri-ciri linguistik. Dalam ciri-ciri keperihalan, penggunaan bahasa boleh dirujuk melalui situasi luaran penggunaan bahasa tersebut (konteks budaya) dan situasi persekitaran yang menyamai pembahagian Halliday (1978) iaitu bidang, tenor dan mod. Kedua-dua situasi ini merujuk kepada situasi luaran sesuatu teks manakala ciri-ciri linguistik pula berkaitan dengan situasi dalaman teks tersebut. Pembahagian ini boleh dilihat dalam rajah di bawah ini:

LARAS BAHASA

SITUASI LUARAN

SITUASI PERSEKITARAN

CIRI-CIRI LINGUISTIK

Jadual 1.1 Kategori Laras Bahasa (Kamaruddin, 1995)

Kajian Liu (2003) menunjukkan bahawa pendekatan laras ini hanya dititikberatkan dalam bidang terjemahan pada tahun 1990-an. Model analisis laras bahasa digunakan untuk mengkaji teks terjemahan tertentu dan pada

2

masa yang sama, ia menentukan keberjayaan mencari padanan dalam teks sumber tertentu. Hu (2010) turut menyokong pandangan beliau dengan menambah bahawa kesamaan teks sumber adalah bersamaan dengan kesamaan dalam konteks situasi tersebut. Beliau menyatakan analisis sedemikian membolehkan seseorang penterjemah memastikan item-item yang perlu dikekalkan atau digugurkan semasa proses terjemahan. Selain itu, analisis laras turut membolehkan penentuan strategi terjemahan yang sesuai dan kajian Liew (2007) menunjukkan strategi terjemahan literal diguna dalam laras bahasa iklan dalam usaha mengekalkan ciri-ciri laras bahasa ini. Namun kajian terhadap laras bahasa amat jarang dilakukan terhadap genre berbentuk audiovisual. Elemenelemen laras yang hadir dalam teks audiovisual jarang dilihat dan kebanyakan fungsi analisis laras digunakan sebagai analisis teks terjemahan secara umum sahaja. Terjemahan genre audiovisual berbeza dengan bentuk terjemahan lain. Hal ini disebabkan terjemahan audiovisual melibatkan pemindahan bahasa teks (lisan/bertulis) yang mengandungi gabungan elemen visual dan aural. Oleh itu, seseorang penyari kata perlu mengambil kira kehadiran elemen visual dan aural yang hadir secara serentak dalam teks ini dan pada masa yang sama, mematuhi konvensi penyarikataan itu sendiri. Hal ini juga dijelaskan dalam kajian Rosa (2001) yang memperihalkan keadaan penyarikataan sebagai suatu gabungan terjemahan intersemiotik dan interlingual. Gabungan ini wujud atas konvensi-konvensi penyarikataan yang membawa kepada pertukaran elemen-elemen laras tertentu. Namun kajian beliau hanya terhadap mod penyarikataan di Portugal yang menentukan keperluan seseorang penyari kata untuk mematuhi laras bertulis atau lisan. Selain itu, beliau turut menyenaraikan faktor-faktor yang menentukan pilihan ini iaitu pertukaran medium, saluran dan kod, keadaan kerja penyari kata, pengaruh stesen televisyen dan sikap penonton itu sendiri. Kajian Pettit (2005) terhadap terjemahan gaya dan nada watak tertentu pula mendapati perubahan laras hadir tidak kira sama ada terjemahan terjemahan itu berbentuk sari kata atau alih suara, yang bertujuan untuk mengatasi kekangan yang wujud dalam produk audiovisual ini. Oleh sebab itu, kertas kerja ini dihasilkan untuk: (i) (ii) (iii) mengisi ruang kajian terhadap laras bahasa dalam konteks audiovisual menganalisis laras bahasa dalam aspek bukan linguistik membincangkan empat persoalan tentang aspek kebahasaan dalam genre drama-komedi iaitu istilah bidangan, bahasa slanga, bahasa kiasan dan medium penggunaan bahasa

Ugly Betty Rancangan Ugly Betty yang disiarkan kali pertama pada tahun 2006 merupakan sebuah rancangan drama komedi keluaran Amerika Syarikat. Pada awalnya, rancangan ini menghadapi kontroversi dari negara Colombia akibat daripada penggunaan format rancangan televisyen keluaran negara itu iaitu Yo soy Betty, La fea. Sungguhpun plot rancangan ini sama dengan telenovela Colombia tersebut yang berkisar kepada seorang perempuan yang bernama Betty dan kehidupannya yang sentiasa mendapat hinaan orang lain atas perwatakannya namun plot rancangan ini tidak hanya menumpu tentang kisah percintaan Betty dengan majikannya sahaja. Rancangan ini turut berkisar pada keadaan tempat kerja Betty dan hubungannya dengan

3

majikan beliau, Daniel dan rakan sekerjanya. Di Malaysia, kepopularan rancangan televisyen ini membawa kepada siaran tiga musim berturut-turut oleh stesen televisyen swasta TV3 dan ASTRO dan hanya stesen televisyen ASTRO yang menyiarkan musim keempat sahaja.

Metodologi Kajian Perbincangan dalam bahagian ini akan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu, 3.1 Pemilihan Data, 3.2 Keperihalan Data dan 3.3 Analisis Data. Perbincangan ini akan dipandu oleh dua persoalan kertas kerja berikut iaitu: (i) Apakah ciri-ciri laras bahasa yang hadir dalam genre drama komedi ini dikekalkan atau diubahsuaikan oleh penyari kata DVD? (ii) Apakah kebolehterjemahan empat masalah terjemahan yang hadir dalam teks ini?

Oleh itu, tiga peringkat ini dihasilkan untuk menjawab dua persoalan kertas kerja ini dan pada masa yang sama, dapatan kajian ini akan dijadikan sebagai panduan kepada proses penyarikataan rancangan televisyen di Malaysia.

Pemilihan Data Bagi memenuhi objektif kertas kerja ini, rancangan Ugly Betty telah dipilih sebagai data kajian memandangkan tumpuan kertas kerja adalah pada rancangan yang menggunakan kaedah penyarikataan. Tambahan pula, rancangan ini dipilih atas kombinasi genrenya yang menggabungkan genre drama dan komedi. Rancangan Ugly Betty ini dipilih bukan sahaja kerana data ini belum digunakan lagi dalam kajian-kajian yang sebelumnya malah disebabkan ketiadaan kajian terhadap sari kata bagi rancangan-rancangan televisyen dalam format Digital Versatile Disc (DVD). Menurut Díaz Cintas (2005:18) dalam Sanderson (2005), kemunculan DVD menyebabkan wujudnya dua hasil sari kata yang berbeza walaupun dalam bahasa sasaran yang sama. Oleh itu, kesempatan ini digunakan untuk mengkaji hasil sari kata yang dilakukan dalam medium DVD. Rancangan dalam versi DVD ini merupakan keluaran syarikat Berjaya HVN Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur. Sari kata yang disediakan mengandungi bahasa Inggeris, bahasa Thai, bahasa Indonesia, bahasa Cina, bahasa Melayu, bahasa Sepanyol, bahasa Portugis dan bahasa Korea. Namun, kertas kerja ini hanya akan memerhatikan sari kata bahasa Melayu sahaja. Selain itu, rancangan ini turut mengandungi dua pilihan audio iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol tetapi objektif kertas kerja ini hanyalah untuk memilih teks asal yang mengandungi audio bahasa Inggeris sahaja.

Keperihalan Data Data yang digunakan untuk analisis dalam rancangan yang dikaji ini merupakan data yang terpilih sahaja. Analisis ini hanya menggunakan data yang dikutip daripada rancangan Ugly Betty yang disiarkan semasa musim ke-2 sahaja. Rancangan ini mengandungi 18 episod namun hanya tiga buah rancangan televisyen ini dipilih untuk mewakili genre ini. Data kajian yang terpilih disenaraikan di bawah:

4

Rancangan Ugly Betty Musim ke-2 NO. 1 EPISOD 1 TAJUK How Betty Got Her Grieve Back MASA 1 Jam SINOPSIS Episod ini menceritakan kehidupan sibuk Betty yang dipenuhi dengan masalah keluarga, Henry dan Daniel. Masalahmasalah yang bertambah ini mempengaruhi Betty sehingga ia menjejaskan perasaan dan pekerjaannya. 2 9 Giving Up the Ghost 1 Jam Episod ini berkisar tentang kehidupan selepas kematian Bradford Meade, ayah Daniel. Pencerobohan yang dilakukan oleh Wilhelmina menjejaskan syarikat tersebut sehingga memaksa Betty datang membantu untuk menyelesaikan masalah ini. 3 11 Zero Worship 1 Jam Betty merasakan objektif Majalah Mode ini terpaksa ditukar apabila dia mendapati kesannya terhadap pembacanya maka dia menggunakan peluang Minggu Fesyen ini untuk mencapai tujuannya.

Jadual yang disediakan di atas merangkumi tajuk data yang dipilih berserta sinopsis episod tersebut. Sinopsis ini disertakan agar pembaca dapat memahami cerita yang dikaji, dan dapat mengenal pasti elemen khusus yang akan dikaji. Data yang dipilih ini merangkumi penayangan rancangan selama 3 jam, dan elemen bahasa yang khusus untuk kertas kerja akan diperoleh daripada tayangan ini. Data asal dalam bahasa Inggeris pada mulanya akan ditranskripsikan dan sari katanya yang sepadan yang disediakan dalam rancangan ini akan dianalisis. Analisis akan dibuat berdasarkan empat aspek yang dinyatakan sebelum ini.

Analisis Data Format data-data yang akan dianalisis akan dipaparkan seperti dalam jadual di bawah: DATA D1124 TEKS SUMBER crack house SARI KATA sarang dadah

5

Setiap contoh perbincangan ini akan ditandai seperti jadual di atas misalnya D1124 diguna untuk mewakili data kajian 1 menerusi baris 124. Teks bahasa Inggeris akan ditandai sebagai TEKS SUMBER dengan teks terjemahannya dalam bahasa Melayu sebagai SARI KATA. Ketiga-tiga data ini akan digunakan untuk mengenal pasti elemen-elemen laras bahasa yang hadir menerusi BIDANG, MOD dan TENOR dan pada masa yang sama, elemen-elemen ini akan dibahagi kepada dua konteks menurut model yang diperkenalkan oleh Marco (2000) yang dipetik dalam Kudo (2007) iaitu KONTEKS DALAMAN dan KONTEKS LUARAN. Selain itu, elemen-elemen laras turut dianalisis berdasarkan model House (1997) yang menganalisis setiap elemen ini dari segi aspek leksikal, aspek sintaksis dan aspek tekstual. Selepas itu, ulasan-ulasan yang relevan akan dibuat terhadap setiap elemen yang dipilih, dan perbincangan ini akan dibuat berdasarkan idea tentang pemindahan bahasa oleh Luyken et al. (1991) dan genre teks. Selain itu, masalah-masalah yang hadir dalam menterjemah genre ini dan cadangan-cadangan yang sesuai turut dibincang dalam bahagian ini.

Konsep-konsep Model analisis laras bahasa oleh House (1997) akan digunakan dalam kertas kerja ini dan ia dibahagi kepada tiga konsep yang penting iaitu bidang, tenor dan mod. Pada awalnya, padanan bahasa Melayu iaitu nada dan saluran digunakan untuk mewakili konsep tenor dan mod. Namun begitu, kedua-dua padanan ini masih dirasakan tidak memadai untuk mewakili konsep-konsep ini. Hal ini disebabkan konsep nada tidak dapat menyampaikan kesemua ciri-ciri tenor dan hal yang sama turut berlaku tentang konsep saluran. Oleh itu, kertas kerja ini akan terus menggunakan konsep tenor dan mod dalam perbincangan ini.

Analisis Laras Bahasa Bidang Menurut House (1997), analisis bidang digunakan untuk menentukan aktiviti-aktiviti yang berlaku dalam situasi tertentu menerusi topik, bidang dan kandungan yang diperbincangkan. Dalam teks audiovisual, pelbagai jenis bidang profesional boleh diterap masuk untuk memerihalkan situasi yang hadir. Namun begitu, teks ini memerihalkan situasi tempat pekerjaan watak utama, Betty yang berkait dengan bidang penerbitan majalah fesyen, Mode. Selain itu, plot rancangan ini sentiasa berkisar kepada isu-isu yang dihadapi oleh Betty dan rakan sekerjanya dalam memastikan kejayaan penghasilan majalah tersebut. Bidang penerbitan majalah ini juga menerap masuk bidang fesyen kerana penglibatan bidang ini dalam majalah wanita yang dipaparkan dalam kes ini. Pengaruh genre yang umum dalam rancangan ini, memperlihat bahawa teks ini hanya ditulis dalam bahasa harian sahaja manakala penggunaan bahasa teknikal hanya tertakluk kepada bidang yang dimasukkan dalam teks ini sahaja. Selain itu, dapatan menunjukkan pengaruh mod audiovisual yang hadir dalam teks ini menghadkan penggunaan item-item tertentu untuk memerihalkan bidang yang hadir dalam teks tersebut. Oleh itu,

6

perbincangan kertas kerja ini hanya berkisar kepada kata dan frasa bidangan serta penggunaan bahasa kiasan sahaja. Analisis ini menjurus kepada terjemahan kata dan frasa bidangan tertentu kerana item ini membawa impak dan signifikan tertentu. Contoh-contoh ini dapat dirujuk seperti berikut:

DATA a

TEKS SUMBER Ooh, ooh. The leopard-print baby doll.

SARI KATA Baju malam dengan corak harimau bintang.

b

The issue ships in 12 hours.

Majalah tu kena keluar dalam masa 12 jam.

c

The computers have crashed, and the Book has disappeared!

Semua komputer rosak dan terbitan awal tu dah hilang!

Dalam kes ini, dapatan menunjukkan sasaran penonton rancangan ini mempunyai sedikit pengetahuan terhadap bidang yang dibicarakan. Hal ini disebabkan pendedahan terhadap budaya media dan media bercetak seperti majalah membolehkan penonton-penonton ini tidak menghadapi masalah yang berkait dengan bidang-bidang ini. Pendedahan sedemikian membolehkan sesetengah kata atau frasa khusus bidang ini menjadi kata atau frasa khusus bidangan yang boleh diterima umum dalam masyarakat kini. Teks audiovisual yang mengandungi gabungan dua saluran visual dan verbal membolehkan sesuatu kata atau frasa khusus ini dapat dijelaskan walaupun penonton mungkin tiada pengetahuan berikut misalnya dalam data a. Dalam contoh ini, frasa baby doll diguna dalam bidang fesyen untuk merujuk kepada pakaian tidur perempuan yang pendek. Walau bagaimanapun, tahap pemahaman penonton terhadap konsep ini tidak terjejas kerana adanya kehadiran elemen visual dalam babak tersebut. Penjelasan maksud frasa ini hadir menerusi babak yang menunjukkan watak Christina yang memperagakan baju ini. Dalam kes sebegini, tindakan penyari kata melakukan parafrasa terhadap frasa ini tidak mendatangkan masalah kepada penonton kerana penonton dapat mengamati rekaan baju tersebut dalam skrin. Masalah menentukan padanan ini mungkin hadir kerana ketiadaan padanan yang sesuai dalam bahasa Melayu, dan kekangan teknikal teks audiovisual yang menghalang penyari kata daripada menjelaskan maksud frasa tertentu dengan lebih mendalam. Selain itu, kehadiran elemen visual turut membawa kepada keberkesanan pemerian situasi dalam sesuatu teks audiovisual. Hal ini dapat dilihat dalam contoh c yang jargon bidangan Book yang diguna untuk merujuk kepada majalah tersebut. Dalam babak ini, visual memaparkan situasi watak Wilhelmina mengagalkan penerbitan majalah ini dengan memasukkan virus komputer untuk menghilangkan data-data majalah ini. Menerusi bantuan visual ini dan jalinan peristiwa yang hadir secara serentak, penonton dapat mengetahui bahawa perkataan ini merujuk kepada majalah tersebut.

7

Selain kehadiran kata atau frasa ini, didapati bahawa komunikasi watak-watak dalam pemerian bidang penerbitan majalah turut melibatkan penggunaan metafora. Menurut Marshall & Werndly (2002), teks rancangan televisyen banyak menggunakan bentuk metafora sama ada dalam bentuk verbal atau visual. Hal ini disebabkan penggunaan metafora membolehkan seseorang penulis mewujudkan kesan emosi dan dramatik yang hadir dalam penulisan kreatif. Contoh-contoh penggunaan ini boleh dilihat di bawah ini:

DATA d

TEKS SUMBER

SARI KATA

Do you know I spent this morning fitting Awak tahu tak saya menghabiskan pagi a spinal column with a tuft of hair? saya menyedang tiang yang berambut? *

e

And designers don't want to show their clothes on fat hangers.

dan pereka tak mahu tunjuk pakaian mereka menerusi penyangkut gemuk.

Menurut Knowles & Moon (2006), metafora digunakan untuk melakukan perbandingan secara tersirat. Walau bagaimanapun, perbandingan item ini turut membawa maklumat budaya tertentu kerana setiap masyarakat mempunyai persepsi dan kognisi yang berbeza dalam budaya yang berlainan. Misalnya dalam contoh e, merupakan budaya fesyen untuk membandingkan seseorang model dengan penyangkut baju. Hal ini disebabkan kedua-dua item ini mempunyai fungsi yang sama iaitu digunakan untuk memperagakan sesuatu pakaian. Jika diteliti hasil terjemahan metafora ini, didapati penyari kata hanya menterjemah item-item ini secara literal tanpa mengubah mesej ayat tersebut. Penyari kata cuba mengekalkan gaya perbandingan yang dilakukan oleh penulis tanpa mencari padanan budaya yang lain. Namun dalam kes d, kesan terjemahan kurang mungkin berlaku kerana hasil sari kata tersebut boleh diperbaiki lagi untuk meningkatkan pemahaman penonton ini. Selain itu, penyari kata telah menggantikan perbandingan spinal column dengan tiang yang lebih sesuai dalam budaya sasaran.

Tenor Menurut House (1997), kajian terhadap tenor digunakan untuk meneliti komunikasi pasangan tertentu dari segi hubungan, jarak sosial dan sebagainya. Selain itu, House (2002) dalam Riccardi (2002) turut menambah bahawa kajian terhadap elemen tenor patut dilihat dalam dua konteks, iaitu hubungan antara orang yang terlibat di dalam dan di luar teks tersebut. Dalam kes ini, penonton sumber merupakan masyarakat Amerika manakala penonton di Malaysia merupakan satu daripada penonton sasarannya. Namun begitu, dalam konteks audiovisual, hubungan dalam teks tersebut lebih diberi perhatian berbanding di luar teks. Maka tumpuan bahagian ini akan diberi kepada analisis hubungan antara watak-watak dalam teks ini. Menurut Snow (1985), penulisan skrip rancangan televisyen mementingkan pemerian situasi sosiobudaya masyarakat sebenar untuk menghasilkan situasi yang kelihatan nyata. Oleh itu, pemaparan hubungan antara watak-watak ini boleh dipengaruhi menerusi

8

kemasukan variasi bahasa yang lain iaitu bahasa slanga. Elemen slanga ini dibincangkan kerana ia turut mempengaruhi komunikasi watak-watak tersebut sama ada dalam konteks profesional atau kehidupan harian watak-watak ini. Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2005), slanga merupakan kata-kata (atau ungkapan) yang tidak tergolong dalam bahasa baku iaitu digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Menerusi definisi ini, dapat difahami bahawa bahasa slanga sebenarnya merujuk kepada variasi bahasa yang digunakan dalam komunikasi harian. Dalam ilmu sosiolinguistik, konsep ini dilihat sebagai suatu penggunaan bahasa yang menunjukkan perkongsian identiti dan status sosial golongan penutur tertentu. Tambahan pula, bahasa slanga yang ditutur oleh golongan tertentu sahaja boleh dilihat sebagai suatu item yang terikat kepada budaya tertentu (culture-bound). Hal ini disebabkan pembentukan slanga ini berlainan dalam budaya yang tertentu misalnya slanga Amerika berbeza dengan slanga dari England. Slanga yang hadir dalam rancangan Ugly Betty boleh dirujuk di jadual ini:

DATA f

TEKS SUMBER Sure do beat that crack house in the Bronx.

SARI KATA memang lebih baik daripada sarang dadah di Bronx.

Menerusi dapatan kajian Wan Amizah (1998) dan Hasuria (2006), didapati penyari kata televisyen kerap menggugurkan elemen slanga yang hadir dalam teks audiovisual tertentu. Hal ini disebabkan ketiadaan padanan budaya yang sesuai bagi menjelaskan wujudnya fenomena sedemikian dalam perbualan harian masyarakat Amerika. Misalnya dalam contoh f, slanga crack hanya diterjemahkan dari segi maknanya sahaja manakala ciriciri slanga ini tidak disampaikan kepada penonton sasaran. Prosedur pengguguran ini menjadi seperti norma kebiasaan penyari kata dalam menangani elemen ini. Walau bagaimanapun, prosedur ini hanya digalakkan kepada penyari kata dalam konteks tertentu sahaja. Hal ini disebabkan pengguguran elemen ini yang melampau akan menyebabkan pengungkapan mesej sasaran ini terjejas. Misalnya dalam contoh di atas, pengguguran elemen slanga tidak menjejaskan mesej teks sasaran ini. Namun perhatian perlu diberikan oleh penyari kata sekiranya elemen slanga ini membawa implikasi tertentu terhadap mesej teks sumber. Misalnya dalam contoh di bawah ini:

DATA g

TEKS SUMBER to keep this place open by showing your jugs.

SARI KATA jangan tutup tempat ini dengan menunjukkan buah dada awak. Hilda, pengutip sampah menjerit “cantik buah dada” bukanlah tawaran.

h

Hilda... The garbage man yelling out "nice rack," is not a modeling offer.

9

Menerusi kedua-dua contoh ini, perbandingan boleh dibuat terhadap makna konsep slanga jugs dan rack yang masing-masing membawa makna yang sama. Menurut laman web http://onlineslangdictionary.com, kedua-dua perkataan ini merujuk kepada organ badan seseorang wanita. Namun, kedua-dua konsep ini mendukung kesan yang tidak sama kerana kata jugs membawa konotasi yang negatif dan kasar manakala konsep rack pula tidak bermaksud sedemikian. Konteks ini memerlukan perhatian penyari kata untuk menggambarkan hubungan antara watak bertutur dengan pasangannya menerusi pemilihan kata-kata tertentu. Dalam contoh g, babak ini memaparkan watak Harvey yang sedang mengata tindakan watak Alexis yang kelihatan sedang menghinanya. Menerusi pemilihan kata ini, perasaan marah watak Harvey dapat disampaikan kepada penonton iaitu beliau cuba melukai perasaan watak Alexis dengan menggunakan perkataan yang kasar. Namun begitu, dalam penghasilan sari kata, kedua–dua contoh ini tidak menampakkan kelainan yang jelas dalam pemerian perasaan dan hubungan watak-watak ini. Hal ini disebabkan penyari kata hanya bertindak menyampaikan mesej asal tersebut tanpa menekankan implikasi yang hadir dalam penggunaan perkataan watakwatak tersebut. Mod Analisis mod digunakan untuk mengkaji medium yang digunakan dan peranan medium kebahasaan ini dalam situasi tertentu. Dalam hal ini, House (1997) turut menjelaskan bahawa analisis ini turut meneliti penglibatan peserta tertentu dalam teks tersebut misalnya teks-teks bertulis tidak melibatkan maklum balas daripada pembacanya. Dua peranan bahasa diperhatikan hadir dalam teks rancangan televisyen ini. Menerusi pembahagian mod wacana dalam Hatim & Mason (1990:49), didapati teks audiovisual ini merupakan teks bertulis untuk diucap seolah-olah bukan ditulis. Skrip rancangan pada asalnya dalam bentuk bertulis ini diucap oleh pelakon-pelakon tertentu berdasarkan interpretasi mereka sendiri. Oleh itu, teks bertulis ini dimasukkan dengan gaya lisan agar dialog yang dihasilkan ini berfungsi sama dengan perbualan masyarakat yang sebenar. Perubahan medium diperhatikan berlaku apabila teks asal dibandingkan dengan teks sari kata. Teks sari kata yang dimampatkan dalam produk audiovisual tersebut merupakan sebuah teks bertulis untuk dibaca. Oleh itu, banyak elemen lisan yang hadir dalam teks asal ini tidak dapat dipaparkan dalam medium bertulis ini. Selain itu, teks asal ini merupakan teks bertulis yang disertakan dengan gabungan elemen visual dan audio manakala teks sari kata ini hanya mengiringi sebahagian elemen visual iaitu di paparan skrin sahaja. Maka elemen bukan verbal yang hadir bersama elemen visual, misalnya gerak-geri watak tertentu perlu diambil kira dalam penghasilan sari kata. Tambahan pula, konvensi-konvensi penyarikataan turut menetapkan beberapa ciri-ciri penting yang perlu dipatuhi dalam proses penghasilan sari kata. Elemen-elemen lisan iaitu fillers, salah mula, gangguan dan sebagainya akan digugurkan oleh penyari kata.

Perbincangan Analisis laras bahasa yang dilakukan terhadap genre drama komedi berbentuk audiovisual ini dapat dirumuskan kepada beberapa dapatan:

10

Bidang Dalam kes ini, kehadiran bidang penerbitan majalah dan gabungannya dengan bidang fesyen dapat disampaikan menerusi pemilihan kata atau frasa bidangan yang khusus dan metafora dalam rancangan ini. Hal ini disebabkan pengaruh norma genre itu sendiri yang mempengaruhi pembentukan teks tersebut. Selain itu, teks audiovisual yang disampaikan dalam bentuk lisan menyebabkan teks ini tertakluk kepada penggunaan ragam ayat yang mementingkan ejen manusia dan pada masa yang sama, menggunakan ragam ayat yang aktif sahaja. Analisis teks menunjukkan pemilihan kata atau frasa bidangan yang khusus ini dibantu dan dipengaruhi oleh tiga faktor tertentu iaitu pengetahuan bidang tersebut oleh penonton, bantuan visual dan pengaruh situasi tertentu. Namun dalam penghasilan sari kata, perbezaan budaya yang hadir dalam kedua-dua penonton tersebut mewujudkan persoalan tentang kefahaman item-item ini dalam teks sumber tersebut. Sungguhpun pelbagai strategi yang digunakan oleh penyari kata terhadap padanan tersebut, namun timbulnya persoalan tentang norma penghasilan sari kata bagi elemen bidang ini. Persoalan wujud sama ada penyari kata patut mencari padanan frasa yang sesuai dalam budaya sasaran ataupun penyari kata patut melakukan parafrasa terhadap frasa-frasa ini memandangkan sasaran penonton media yang luas. Penyari kata seharusnya perlu cuba mendapatkan padanan bagi frasa tersebut dalam budaya sasaran dan hanya melakukan parafrasa apabila diperlukan sahaja seperti contoh a. Cadangan ini disyorkan memandangkan kerja penyari kata bukan sekadar menyampaikan mesej malah mengekalkan kesan yang hadir dalam teks asal tersebut. Analisis terhadap penggunaan metafora dalam bidang ini turut menunjukkan kekerapan penggunaan strategi terjemahan literal yang tinggi oleh penyari kata DVD ini. Hal ini disebabkan sebarang pengubahsuaian elemen metafora ini boleh menimbulkan kesan yang berlainan dengan teks sumber. Dalam kes ini, penyari kata tidak digalakkan mendapatkan padanan yang sama dalam budaya sasaran memandangkan analisis menunjukkan penggunaan metafora ini tertakluk kepada bidang yang diperihalkan dalam teks ini. Oleh itu, tindakan penyari kata menukar padanan tersebut akan mengubah mesej teks asal ini dan pemerian situasi bidang profesional ini juga akan terjejas. Dapatan analisis menunjukkan bidang yang diperihalkan dalam teks audiovisual ini masih dapat dikekalkan oleh penyari kata menerusi pengekalan item-item bidangan tersebut.

Tenor Perbincangan terhadap hubungan antara watak-watak tertentu sentiasa diberi perhatian oleh sarjana dalam bidang terjemahan audiovisual. Hal ini disebabkan oleh sifat teks audiovisual itu sendiri yang berubah daripada medium lisan kepada medium bertulis. Perubahan medium ini menyebabkan sarjana bidang terjemahan audiovisual kerap melakukan kajian terhadap tenor untuk mencadangkan strategi terbaik bagi elemen-elemen lisan yang tidak dapat dikekalkan dalam sari kata. Dalam kes ini, penekanan lebih diberikan kepada hubungan penutur yang terlibat dalam teks daripada di luar teks. Dapatan analisis menunjukkan terdapat kekerapan penggunaan prosedur pengguguran terhadap elemen slanga oleh penyari kata DVD ini. Tambahan pula, tindakan penyari kata ini adalah selaras dengan norma penyarikataan di Malaysia yang menggalakkan

11

penggunaan ini. Namun analisis data ini menunjukkan kekerapan penggunaan strategi terjemahan literal mewujudkan kesan-kesan terjemahan kurang seperti dalam contoh g dan h. Sungguhpun penyari kata dicadangkan untuk menterjemah makna asal sahaja namun perhatian perlu diberikan kepada makna konotasi tertentu yang mungkin mempengaruhi hubungan watak-watak tertentu dan nada watak tersebut.

Mod Dapatan menunjukkan kedua-dua teks asal ini tergolong dalam mod audiovisual. Menurut Karamitroglou (2000), beliau menjelaskan bahawa teks audiovisual mengandungi gabungan elemen-elemen visual dan aural dan kes ini turut hadir dalam kedua-dua teks tersebut. Selain itu, dapatan juga menunjukkan perbezaan masih wujud antara kedua-dua teks ini dari segi medium, kod, saluran (channel) dan sebagainya. Hal ini disebabkan teks sari kata ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti standard-standard penyiaran tertentu, konvensi penyarikataan dan sebagainya. Oleh itu, analisis terhadap teks sari kata ini dapat menunjukkan pilihan-pilihan bahasa yang digunakan oleh penyari kata tertentu misalnya penggunaan ragam lisan untuk mewujudkan situasi perbualan lisan yang hadir dalam konteks tertentu.

Kesimpulan Dapatan laras bahasa dalam konteks audiovisual adalah tidak sama dengan laras yang dijumpai dalam bidangbidang yang lain seperti iklan, borang dan sebagainya. Bukti dapat dilihat menerusi kekerapan penggunaan kata atau frasa bidangan tertentu dalam memerikan bidang profesional tertentu sahaja. Selain itu, ciri-ciri tenor dan mod turut dipengaruhi oleh genre audiovisual misalnya aspek tenor yang lebih kepada penggunaan bahasa yang bersifat tidak formal dan lisan. Dapatan kajian ini turut menunjukkan wujudnya pengubahsuaian ke atas ketigatiga kategori laras ini dalam genre audiovisual. Jika meneliti empat ciri-ciri laras yang dibincangkan, didapati hanya ciri-ciri bidang yang dapat dikekalkan oleh penyari kata sahaja. Hal ini disebabkan perubahan dalam pemerian bidang profesional tertentu boleh menjejaskan plot rancangan ini. Namun perubahan berlaku dalam ciri-ciri tenor dan mod laras ini untuk mematuhi sesetengah norma dan konvensi tertentu. Analisis terhadap elemen slanga ini menunjukkan tahap kebolehterjemahan yang rendah terhadap elemen slanga dalam rancangan yang dikaji. Walau bagaimanapun, pengubahan ini secara tidak langsung tidak menjejaskan pemerian hubungan antara watak-watak ini. Hal ini disebabkan pengguguran elemen-elemen ini bertujuan untuk mematuhi standardstandard penyarikataan yang lebih menekankan penggunaan wacana bertulis dalam sari kata dan pada masa yang sama, ia masih menepati tahap pemahaman penonton umum di Malaysia. Manakala dalam kes mod laras ini, pengubahsuaian diperlukan untuk mematuhi konvensi penyarikataan terutamanya standard-standard penyarikataan tertentu. Selain itu, tahap kebolehterjemahan yang rendah terhadap elemen-elemen lisan tertentu dan sifat sari kata tersebut menyebabkan sari kata tersebut lebih bersifat bertulis daripada lisan.

Rujukan

12

Asmah Hj. Omar. (1983). Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi: Bahasa dalam Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia. ______________. (1985). Penggunaan Bahasa dalam Borang: Bahasa dalam Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia. ______________. (1987). Bahasa Malaysia Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia. ______________. (1995). Bahasa Laporan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Halliday, M. A.K. & Hasan, R. (1989). Language, Context and Text: Aspects of Language In A Social-Semiotic Perspective. Oxford: Oxford University Press. Hasuria Omar. (2006). Penterjemahan Audiovisual Televisyen. Bangi: Penerbit UKM. House, J. (1981). A Model for Translation Quality Assessment. Germany: Gunter Narr Verlag Tübingen. ______ . (1997). Translation Quality Assessment. A Model Revisited. Germany: Gunter Narr Verlag Tübingen. Kamaruddin Haji Husin. (1995). Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Luyken, G-M., Herbst, T., Langham-Brown, J., Reid, H. and Spinhof, H. (1991). Overcoming Language Barriers in Television: Dubbing and subtitling for the European audience. UK: The European Institute for the Media. Nik Safiah Karim. (1992). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Rosa, A, A. (2001). Features of Oral and Written Communication in Subtitling dalam Gambier, Y. and Gottlieb, H. (Eds). (Multi)Media Translation (p 213-221). Amsterdam/Philadelphia: John Benjamins Publishing Company. S. Nathesan. (1995). Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Trosborg, A. (1997). Text typology: Register, genre and text-type dalam Trosborg, A. Text Typology and Translation (p 3 – 23). Amsterdam and Philadelphia: Benjamins. Wan Amizah Wan Mahmud. (1998). “Kaedah Penterjemahan Sarikata Dokumentari dan Komedi Semasa di Televisyen: Satu Kajian Perbandingan”, Tesis M.A, Universiti Malaya tidak diterbitkan.

Data Kajian Ugly Betty Season 2: Ep 24-41 DVD. (2007). Syarikat Berjaya HVN Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur Rujukan: Kamus Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

13

Sponsor Documents

Or use your account on DocShare.tips

Hide

Forgot your password?

Or register your new account on DocShare.tips

Hide

Lost your password? Please enter your email address. You will receive a link to create a new password.

Back to log-in

Close